Hak Orang Kurang Upaya (OKU)
merupakan perkara yang telah dibincangkan secara meluas. Mereka merupakan
antara kumpulan rentan dalam masyarakat. Malaysia telah meratifikasikan
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Orang Kurang
Upaya (CRPD) pada 6 Julai 2010, dengan reservasi ke atas Artikel 15 dan 18.
Malaysia belum lagi menandatangani Protokol Pilihan kepada Konvensyen ini. Walaubagaimanapun,
ratifikasi CRPD merupakan satu langkah yang membuktikan kesediaan Malaysia
untuk melaksanakan hak asasi yang terkandung dalam CRPD menerusi tindakan.
Aduan dan isu-isu berkaitan OKU
terus dibawa kepada perhatian Suruhanjaya. Ini termasuk pendaftaran OKU, sistem
pendidikan, akses kepada kemudahan, perkhidmatan dan bangunan awam, kemudahan
pengangkutan awam, peluang pekerjaan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Suruhanjaya sentiasa menyeru
Kerajaan memenuhi obligasinya di bawah CRPD dengan memastikan agar OKU dapat
menikmati hak asasi mereka kepada kehidupan, tidak diskriminasi, hak sama rata,
akses kepada keadilan serta penyertaan dalam arena politik. OKU berhak untuk
menikmati hak sivil, politik, sosial, ekonomi serta kebudayaan mereka secara
sama rata dengan orang lain.
Suruhanjaya kini sedang mengkaji
isu-isu berkaitan hak kepada pendidikan bagi Kanak-kanak dengan Masalah
Pembelajaran (CWLD) menerusi penganjuran aktiviti untuk mengumpul maklumat dan
mengenal pasti isu-isu berkenaan CWLD. Ini termasuk lawatan lapang ke
sekolah-sekolah yang mempunyai program integrasi dan sekolah-sekolah yang
dikendalikan oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memerhatikan proses
pengajaran dan pembelajaran CWLD; forum awam berkaitan hak kepada pelajaran bagi
CWLD; dan bengkel latihan untuk guru.
Suruhanjaya juga telah menganjurkan
satu siri bengkel mengenai Hak Asasi Manusia bagi Guru Pendidikan Khas yang
mengajar SES (Masalah Penglihatan dan Pendengaran) dan SEIP (Masalah
Pembelajaran) berdasarkan kawasan di Semenanjung Malaysia. Bengkel tersebut
membekalkan mereka dengan maklumat mengenai hak kanak-kanak dan mengenalpasti
keperluan pendidikan yang berkaitan.