
Piagam Madinah telah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
- 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
- 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu, Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Oleh kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan kaum, maka Perlembagaan Malaysia adalah panduan yang digunakan untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Terdapat unsur-unsur persamaan antara Perlembagaan Malaysia dan Piagam Madinah:
1. Kebebasan Beragama
Dalam Piagam Madinah, Fasal 25 ada mengatakan, “bagi Yahudi agama mereka dan bagi orang-orang Islam agama mereka”. Hal ini selaras dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud, “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku” serta ayat lain dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud “tidak ada paksaan dalam agama”. Melalui perjanjian ini, kaum Yahudi dianggap sebagai satu ummah yang hidup bersama dan saling membantu di bawah perjanjian yang dipimpin oleh seorang ketua negara Islam. Mereka bebas menganut dan mengamalkan agama mereka. Kebebasan ini bukan sahaja diberi kepada kaum Yahudi malah kepada pengikut dan sekutu (mawali) mereka.
Dalam Perlembagaan Malaysia pula, Perkara 3 dalam Agama bagi Persekutuan ada mengatakan dalam Fasal 1 bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Ini jelas menyatakan setiap rakyat bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka.
2. Jaminan Hak Asasi Kemanusiaan
Dalam Piagam Madinah, setiap orang diberi hak untuk memberi perlindungan kepada seseorang dan berjanji agar perlindungan yang diberi oleh seseorang itu hendaklah dihormati oleh semua ummah. Perlindungan itu diberikan dengan syarat orang yang hendak dilindungi ini mestilah bukan musuh negara dan orang yang bersalah. Memberikan perlindungan kepada jiran merupakan sebahagian daripada adat yang diamalkan oleh orang Arab ketika itu. Dalam fasal 40 ada mengatakan “Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlakukan sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya bahaya dan dosa” malah dalam fasal 41 ada mengatakan “tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri”. Ini jelas menunjukkan Nabi Muhammad S.A.W amat menjaga hak-hak ummat baginda.
Dalam Perlembagaan Malaysia pula, 3 Perkara 8 dalam Kesamarataan, fasal 1 ada menyebut “semua orang adalam sama rata di sisi undang-indang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap orang berhak mendapatkan jaminan yang sama rata di sisi undang-undang Perlembagaan Malaysia. Dalam Perkara 10 pula, dalam Kebebasan bercakap “tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”
Jelaslah disini bahawa, Perlembagaan Malaysia mempunyai persaamaan dengan Piagam Madinah. Dengan adanya perlembagaan atau piagam ini maka sesebuah negara dapat mewujudakan satu bentuk pemerintahan yang adil dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah. Selain itu juga, ia dapat menjamin keamanan dan kestabilan negara.
No comments:
Post a Comment